Sekolah ini ditubuhkan pada 11 Januari 1965 dengan nama Sekolah
Menengah Rendah Changkat Jering menggunakan bahasa pengantar Melayu dan
Inggeris. Pelajar rintis seramai 219 orang pada mulanya menumpang di SK
Changkat Jering, kemudian berpindah ke SRJK(C) Sin Min, Simpang. Pada
tahun 1967 bangunan utama siap dibina di atas kawasan seluas 5.41
hektar yang disumbangkan oleh YAB Encik Wan Mohamed Noor bin Wan Nasir.
Bangunan asal terdiri daripada tiga blok bangunan dua tingkat, sebuah
gelanggang badminton dan sepak takraw bersimen.
Pada tahun 1968 nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Menengah Tengku
Menteri mengambil sempena gelaran yang diberi kepada Ngah Ibrahim bin
Long Jaafar, seorang tokoh sejarah terkenal tanah air.
Pada tahun 1975, bangunan tiga tingkat siap dibina. Sebuah bangunan
surau didirikan pada tahun 1980, manakala sebuah dewan serbaguna dan
sebuah gelanggang bola keranjang telah disiapkan pada tahun 1983.
Pada tahun 1984, bangunan satu tingkat yang mengandungi enam bilik
darjah dibina di bawah projek pasang siap. Sehingga tahun 1995 sekolah
ini mempunyai enam blok bangunan.
Pada tahun 1991 sekolah ini telah mencipta nama menjadi Sekolah Harapan
Negara peringkat negeri Perak dan pada tahun 1993 pula menjadi johan
dalam pertandingan Kebersihan, Keceriaan dan Keindahan (3K) pada
peringkat kebangsaan bagi kategori sekolah menengah luar bandar.
Sekolah juga telah mencatat sejarah apabila menang kategori Juara-Juara
3K pada tahun 2002 dan Sekolah Harapan Negara tempat ketiga peringkat
Kebangsaan pada tahun 2004.
Pada tahun 1995 sekolah ini telah mendapat kemudahan komputer yang
lengkap dengan kemudahah internet dan multimedia daripada Kementerian
Pendidikan Malaysia di bawah projek Rangkaian Munsyi yang melibatkan 14
buah sekolah di seluruh negara.
Pada tahun 1997 sekolah ini terpilih pula untuk melaksanakan Projek
Rintis Sekolah Bestari anjuran kementerian Pendidikan Malaysia. Pada
tahun 2002 dua mata pelajaran vokasional diperkenalkan iaitu Seni Reka
Tanda dan Tanaman Makanan sebagai mata pelajaran elektif pelajar
menengah atas.
No comments:
Post a Comment